HAK UNTUK MENDAPAT KEPERLUAN ASAS

Definisi

Hak ini adalah untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang perlu bagi meneruskan kehidupan iaitu keperluan makanan,pakaian,tempat tinggal dan kesihatan.

  • Setiap keperluan asas itu amat penting bagi kita dalam meneruskan kehidupan dan disebabkan kepentingan itulah,kerajaan telah menggubal undang-undang bagi melindungi pengguna dan mengawal segala keperluan ini bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak baik daripada terjadi.

  • Bagi negara yang berdaulat,Malaysia,mempunyai Pelembagaan Persekutuan adalah penting dan ia merupakan undang-undang tertinggi di Negara kita sejak merdeka lagi.Ini adalah penting bagi mengawal kemakmuran,kesejahteraan dan kepentingan untuk rakyat dan Negara kita.Undang-undang ni adalah dasar atau ibu kepada semua undang-undang yang ada sekarang dan sekiranya berlaku percanggahan,maka undang-undang tersebut secara sendirinya terbatal.

  • Bagi melindungi pengguna di Malaysia,banyak peruntukan undang-undang diluluskan oleh Parlimen yang merupakan badan penggubal undang-undang di Negara kita.(Ahmad Ibrahim,1995,The Malaysian Legal System)

  • Akta-akta yang telah dibuat digubal untuk melindungi pengguna daripada amalan dan perbuatan yang boleh memudaratkan kesihatan dan gaya hidup sihat pengguna di Malaysia.

Antara akta-aktanya ialah:-

i) Akta Kawalan Bekalan 1961(pindaan 1973)

ii) Akta Timbang Sukat 1972

iii) Akta Makanan 1983

iv) Peraturan-peraturan Makanan 1985

v) Akta Perihal Dagangan 1972

vi) Akta Kawalan Harga 1946

vii) Peraturan-peraturan Timbang dan Sukat 1973

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MENDAPATKAN KESELAMATAN

Definisi
Hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang tidak membahayakan keselamatan dan kesihatan pengguna. Ia penting untuk melindungi pengguna daripada pemasaran barangan atau perkhidmatan yang boleh memudaratkan kesihatan dan kehidupan.

a)Jenis-jenis perkhidmatan yang dicurigai dan akta-akta yang telah digubal

i) Pembuatan dan Penggunaan Bahan Kimia dalam makanan
- Akta Makanan 1983 (Akta 281)
- Peraturan-Peraturan Makanan 1985

Ini adalah penting walaupun bahan kimia dan awet diperlukan bagi menyediakan sesuatu produk makanan,contohnye galetin,ia juga hendaklah dikawal supaya tidak memudaratkan kesihatan para pengguna.Kualiti dan kuantiti hendaklah juga dikawal supaya tidak melebihi kuota-kuota yang telah ditetapkan.

Dibawah adalah senarai-senarai masalah yang perlu diambil berat oleh pengguna

i)Baru-baru ini telah dikejutkan dengan penemuan bahan toksik dalam kacang hijau buatan di Hunnan,China yang boleh memudaratkan kesihatan. Penggunaan pewarna hijau ini dilarang dalam hasilan ladang kerana ia mungkin boleh mengakibatkan kanser. Pengambilan sodium metabisulfit yang berlebihan akan menghalang penyerapan kalsium oleh tubuh manusia.



ii)Sejak tahun 2006, penduduk di Malaysia telah menyaksikan pelbagai skandal keselamatan produk pengguna di Malaysia dan antarabangsa bermula dengan keracunan makanan di sekolah sehinggalah pencemaran mentega kacang dengan bakteria Salmonella pada tahun lepas.




Bagi pengguna muslim pula, isu penggunaan tanda halal begitu membimbangkan. Ini berikutan berlakunya beberapa kes di mana sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan tanda halal pada makanan dan produk yang tidak halal.
Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (‘Jakim’) telah mengeluarkan logo pengesahan halal yang standard kepada setiap makanan dan produk yang diperiksa. Namun demikian, keyakinan pengguna muslim terhadap makanan dan produk yang menggunakan tanda halal yang dikeluarkan oleh Jakim ini tergugat apabila ada pihak yang meniru tanda halal Jakim pada barangan yang tidak halal. Malah, terdapat juga komen yang menyatakan babawa logo halal yang diberikan adalah tidak menurut spesifikasi yang ketat dan kajian ke atas produk juga tidak dibuat secara serius. Komen atau kritikan ini seharusnya diberikan perhatian yang serius kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam yang merupakan antara golongan pengguna terbesar di negara ini.

Bagi mengurangkan keraguan sama ada barang yang pengguna beli itu halal ataupun tidak,pengguna boleh membuat rujukan terlebih dahulu di website ini supaya barang yang dibeli terjamin halal dan mengikut syariat yang ditetapkan dalam Islam.

ii) Penggunaan Ubat-ubatan
- Akta Pendaftaran Farmasi 1951,
-Akta Jualan Dadah 1952
-Akta Racun
-Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956
Setiap ubat yang dijual di Malaysia wajib didaftarkan dahulu dengan Kementerian Kesihatan dan semua ubat hanya boleh diiklankan dengan kebenaran kementerian itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Walaupun begitu,baru-baru ini, isu ubat palsu didedahkan kepada pengguna bagi tujuan menyedarkan masyarakat tentang bahayanya menggunakan ubat yang tidak diiktiraf sebagai selamat oleh kerajaan. Kebiasaannya sesuatu ubat palsu dihasilkan mengikut sediaan ubat tulen yang diketahui amat popular digunakan oleh pengguna-pengguna di Malaysia.
Antara ubat-ubat palsu yang telah dirampas
-Panadol (ubat menghilangkan demam)
-Ponstan (ubat menghilangkan kesakitan)
-Vapex (ubat semburan hidung)
-Cortal (ubat menghilangkan demam)
-Eyemo (ubat titis mata)
-Optrex (ubat pencuci mata)
-Supradyne Forte (ubat vitamin)
-Vicks (salap meruap)
-krim Nivea.

Ubat tiruan yang terdapat di pasaran boleh juga dikenalpasti melalui aktiviti pos pemasaran. Melalui persampelan ubat secara rambang di pasaran berserta dengan analisis kandungan sediaan di makmal, keluasan masalah ini dapat ditentukan supaya langkah bersesuaian dapat dijalankan. Sebagai mencegah aktiviti ini daripada berlaku lagi pada masa hadapan, peruntukan undang yang terbabit dalam aktiviti pemasaran ubat tiruan seeloknya dipisahkan dari barangan tiruan lain untuk menunjukkan kepentingan pencegahan ubat tiruan dari menyebabkan kesihatan terjejas atau kehilangan nyawa. Sebagai perbandingan peruntukan Seksyen 31A dari Akta Perihal Dagangan 1972 yang berkaitan dengan ubat tiruan hanya mengenakan hukuman maksimum RM250,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali adalah tidak memadai melihat kepada potensi sesuatu ubat tiruan tersebut boleh mengakibatkan kesihatan pengguna terjejas secara berkekalan atau kematian pengguna. Walaupun demikian, pengguna haruslah ingat bahawa melalui perolehan maklumat yang lengkap dari sumber yang bersesuaian sebelum mengambil sesuatu ubat seperti dalam hal pengubatan sendiri dapat sekurang-kurangnya mencegah pengguna dari ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.



iii) Penggunaan Alat Permainan Kanak-kanak
- Akta Perlindungan Pengguna 1999
i) Kerajaan Amerika Syarikat telah menarik balik 210,000 pasang selipar kanak-kanak kerana kandungan Plumbum yang tinggi.

ii) Jabatan Kastam dan Cukai Hong Kong telah melarang penjualan puting kanak-kanak berjenama “Gino” kerana produk ini mengandungi bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser. Puting kanak-kanak jenama ini mengandungi N-nitrosomorpholine yang berlebihan. Kajian yang dilakukan ke atas haiwan mendapati pendedahan pada N-nitrosomorpholine akan menyebabkan penyakit pada hati dan organ-organ lain, antaranya seperti pertumbuhan tumor pada paru-paru, hidung dan ginjal.

iv) Penggunaan Racun Makhluk Perosak
- Akta Racun Makhluk Perosak 1974
Penggunaan racun makhluk perosak dalam pertanian perlu di ambil berat setiap pengusaha pertanian.Penggunaan racun yang tidak diluluskan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna jika perkara ini diambil mudah oleh pengusaha pertanian.

v) Penggunaan Alat untuk Kenderaan Bermotor
-Untuk kenderaan bermotor,setiap pengguna haruslah mempunyai insurans.Selain itu,sebelum membeli alat bagi kenderaan bermotor,pengguna hendaklah memastikan barang yang dibeli itu mempunyai logo Sirim ataupun organisasi yang berkaitan.Ini sebagai satu langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko jikalau barang yang dibeli adalah seludup ataupun barang tiruan yang kebiasaanya di import dari China.Kebiasaanya,barang-barang tiruan ini tidak mempunyai piawaian keselamatan yang sah dan boleh membahayakan pengguna dan orang disekeliling.
Penggunaan tayar yang berbunga juga amat penting dalam penggunaan kenderaan bermotor ini.Ia dapat mengurangkan kemalangan yang semakin tinggi di Malaysia berikutan penggunaan tayar yang tidak betul.Biar mahal,asalkan selamat.

Tengahari pergi mengail
Dapat seekor ikan tenggiri
Jangan amalkan sikap bakhil
Akan merosak diri sendiri


Dibawah ialah senarai-senarai yang boleh anda membuat rujukan atau mendapatkan maklumat jika terdapat sebarang masalah.Sila klik mana-mana yang berkenaan.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT

DEFINISI
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.


Pengguna berhak mendapat maklumat yang lengkap dan tepat tentang barang atau perkhidmatan yang hendak dibeli.

Setiap pengguna berhak mendapat maklumat tentang perkara-perkara berikut:

a) Harga barangan yang berpatutan

b) Mutu barangan yang terjamin

c) Berat dan sukatan barangan tepat.

d) Isi kandungan barangan

e) Cara menggunakan barangan

Hak mendapat maklumat melindungi pengguna daripada penipuan akibat amalan-amalan perniagaan yang tidak beretika.

Hak mendapat maklumat yang tepat dan sesuai adalah penting untuk membolehkan pengguna membuat keputusan yang wajar semasa membeli.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MEMBUAT PILIHAN

DEFINISI
Pengguna hendaklah diberi maklumat secara langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberi penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membentuk keputusan serta mendapat jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan. Ianya merujuk kepada suatu jaminan agar jumlah barangan dan perkhidmatan di pasaran mencukupi dengan harga yang berpatutan. Hak mendapat pilihan pula merujuk kepada isu kemampuan untuk memilih antara barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ia bererti suatu jaminan agar jumlah barangan dan perkhidmatan di pasaran mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Antara undang-undang yang menjamin pengguna bebas untuk membuat pilihan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Kawalan Harga 1946, Akta Jualan Barangan 1957.

Akta Kawalan Bekalan 1961, misalnya memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran dan menghukum pihak yang terbabit dalam aktiviti menyorok barangan keperluan.Seperti yang berlaku sekarang,banyak penyorokan gula berlaku menyebabkan masalah kekurangan gula berlaku..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MENDAPAT GANTI RUGI

DEFINISI

Hak mendapatkan ganti rugi pula melayakkan pengguna mendapat pampasan yang adil dan berpatutan berikutan barangan atau perkhidmatan yang dibeli didapati tidak seperti yang dijanjikan, cacat atau tidak berfungsi.

Hak untuk mendapat pampasan yang berpatutan jika sesuatu barangan atau perkhidmatan tidak memberi kepuasan yang sepatutnya daripada maklumat yang diberi. HAK MEDAPAT GANTIRUGI

Pernahkah tak kita berasa tertipu atau mendapat barangan yang tidak sepadan dengan harga yang dibayar? Jika ya, gunakan hak anda untuk mendapat ganti rugi. Iaitu hak mendapatkan penyelesaian tuntutan. Ia melibatkan hak untuk menerima pampasanan bagi barangan atau perkhidmatan yang tidak bermutu.

Para pengguna tidak perlu berasa risau atau teragak-agak untuk bertindak apabila berasa barangan yang diperolehi tidak bermutu. Ini kerana terdapat banyak undang-undang yang berkaitan dengan hak mendapatkan ganti rugi.

Antaranya ialah:

i. Akta jualan barangan 1977
ii. Akta Undang-undang Sivil
iii. Akta perihal dagangan, 1972
iv. Akta Perlindungan pengguna, 1999,Akta Kontrak 1950.

Bagaimanakah anda boleh ketengahkan tuntutan untuk mendapat gantirugi?

i. Tindakan diri sendiri.
ii. Aduan kepada pihak berkuasa

i. Tindakan diri sendiri:

Kempen Konsumer Kebangsaan: Perubahan Bermula Dengan Saya.
Sesuai dengan Kempen Konsumer Kebangsaan 2008-2012.Eloklah jika ada sebarang ketidakpuasan tentang hak anda sebagai pengguna, mulakan dengan tindakan diri sendiri.

Contohnya anda boleh berhenti menggunakan barangan berkanaan yang tidak bermutu. Selain dari itu anda boleh mengemukan aduan segera kepada pekedai tempat anda membeli barangan. Anda juga boleh menghantar balik barangan yang dibeli. Bawa resit atau sebarang bukti pembelian untuk melancarkan proses tuntutan dengan segera. Anda juga perlu bertenang menghadapi masalah barangan yang dibeli tidak menepati piawaian pengguna secara rundingan dengan pihak pengurus atau pemilik kedai.

ii. Aduan kepada pihak berkuasa

Anda boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa melalui secara bertulis atau melalui melalui telefon. Pastikan anda sertakan maklumat penting seperti tarikh kejadian, jenis barang, lokasi kedai, nombot resit dan sebagainya bagi memastikan aduan anda berkesan dan anda mendapat semula hak anda yang sewajarnya.

Anda boleh membuat aduan kepada persatuan-persatuan pengguna yang terdekat dengan anda atau mana-mana cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Anda juga boleh menggunakan alternative yang bebih serius melalui saluran Tribunal Tuntutan Pengguna, jika nilai tuntutan anda tidak melebihi RM25000.00.
Apa yang penting, kita sebagai pengguna mesti mempunyai kesedaran tentang hak-hak kita dan juga bertindak secara profesional agar semua pihak mendapat faedah secara relatifnya berkaitan isu kepenggunaan.

Untuk itu, Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuhkan yang membolehkan pengguna yang mengalami kerugian membuat tuntutan ganti rugi. Penyelesaian akan cuba dilakukan dalam tempoh 60 hari dan had nilai yang boleh dirujuk ialah tidak melebihi RM25,000 manakala belanja perbicaraan dalam tribunal adalah percuma.

Setiap pengguna wajar merebut peluang menggunakan khidmat tribunal ini apabila dirundung masalah mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan sama ada daripada pihak swasta mahupun kerajaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MENYUARAKAN PENDAPAT

Pengguna berhak menyuarakan pendapat mereka sebagai pengguna melalui badan atau pergerakan pengguna.

Melalui pergerakan pengguna, segala aduan dan rasa tidak puas hati pengguna dapat disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Dengan cara ini, hak dan kepentingan pengguna dapat dijamin secara berkesan.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MENDAPAT PENDIDIKAN KEPENGGUNAAN

DEFINISI
Hak mendapatkan pendidikan pengguna yang bermaksud hak pengguna untuk membekalkan dirinya dengan pengetahuan dan kemahiran supaya menjadi seorang pengguna yang bestari dan bermaklumat sepanjang hayat.

Untuk melahirkan pengguna yang mengamalkan gaya hidup lestari, beberapa institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) termasuk maktab-maktab perguruan kini ada menawarkan kursus pendidikan pengguna.

Antara IPTA itu ialah Universiti Malaya yang menawarkan subjek 'Perundangan Pengguna', Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan subjek 'Isu Kepenggunaan dan Alam Sekitar', malah Universiti Sabah turut menawarkan kursus 'Pemasaran dan Kepenggunaan'.

Kelab-kelab pengguna yang ditubuhkan di beberapa buah sekolah menengah juga turut melibatkan kegiatan pendidikan pengguna.

Usaha dan penglibatan proaktif FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta beberapa persatuan pengguna lain dalam menyuburkan pendidikan pengguna di kalangan masyarakat wajar diberi pujian.

Hakikatnya, memiliki tahap kepekaan yang tinggi terhadap hak pengguna penting untuk membolehkan mereka mengamalkan gaya hidup lestari yang juga mampu melindungi diri dan keluarga mereka daripada pelbagai ragam muslihat dunia perniagaan.

Pendidikan kepenggunaan amat penting supaya kita sebagai pengguna mengetahui hak-hak pengguna dan tidak ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.Dengan pendidikan ini,kita tidak mudah ditipu oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab seterusnya membantu pengguna-pengguna lain dengan melaporkan kepada pihak-pihak tertentu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

HAK UNTUK MENDAPAT ALAM SEKITAR YANG SIHAT

DEFINISI

Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat bererti hak kepada alam sekitar fizikal yang akan memperbaiki atau meningkatkan mutu kehidupan. Hak ini melibatkan usaha mendapatkan perlindungan daripada masalah persekitaran yang di luar kawalan pengguna secara individu, tetapi boleh dibendung jika pengguna bertindak secara kolektif. Ia memaparkan keperluan memelihara dan melindungi alam sekitar untuk generasi masa kini dan masa hadapan sangat bergantung kepada muafakat di kalangan ahli-ahli masyarakat sepertimana perlu bagi menangani pelbagai masalah pengguna yang lain.


Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar meliputi beberapa komponen utama:

1-Unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa penglibatan manusia,termasuk tumbuh-tumbuhan,haiwan,batu-bata dan sebagainya serta fenomena semula-jadi yang berlaku.

2-sumber sejagat semula jadi serta fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara,air dan iklim serta tenaga,cas elektrik dan kemagnetan yang tidak wujud hasil daripada aktiviti manusia.

Sekarang pelbagai bencana telah melanda di semua negara.Ini berikutan kita tidak menjaga alam sekitar dengan sewajarnya.Pengguna dan pengeluar memainkan peranan penting dalam menjaga dan membantu antara satu sama lain untuk mendapatkan persekitaran yang sihat.Siapa lagi yang akan menjaganya jikalau bukan kita sendiri yang menggunakannya.Pengeluar juga hendaklah memainkan peranan yang penting bagi membantu masyarakat mendapat alam sekitar yang aman dan sihat.Jika masing-masing mengamalkan sikap pentingkan diri sendiri ataupun "jual ikan=selfish",kita dan generasi akan datang mungkin tidak lagi berpeluang untuk melihat pokok-pokok yang hijau,oksigen berkurangan,pemanasan global dan macam-macam lagi bencana yang bakal terjadi sekiranya kita tidak mengambil berat perkara ini.



SAYANGILAH ALAM SEKITAR UNTUK KEPENTINGAN BERSAMA


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS